Wednesday, April 2, 2008

Kenapa ramai tak pilih BN?

PRU 12 telah pun berlalu pada 8 Mac 2008 yang lalu. Namun riak after match election masih lagi belum reda. Terbaru adalah kenyataan dari (Tan Sri) Muhammad (Mohd Taib) berkata, antara faktor kemerosotan sokongan terhadap BN ialah dakyah pembangkang yang disebarkan menerusi blog dan laman berita antikerajaan serta pengedaran cakera padat video (VCD) kononnya pihak berkuasa bertindak melampau ketika merobohkan sebuah kuil Hindu dua hari sebelum hari mengundi.


Katanya, pembohongan pembangkang itu dilakukan secara berterusan menerusi internet sehingga ramai pengundi terpengaruh dan membenci kerajaan.


Adakah bahan kempen pembangkang adalah dakyah ? Antara bahan kempen pakatan BA adalah tentang kenaikan harga minyak, kenaikan tol, kenaikan kos barang keperluan harian seperti tepung, ketidakadilan kerajaan BN mengagihkan perbelanjaan negara, keputusan penghakiman terpilih, pembohongan fakta seperti pemansuhan yuran sekolah, kes penahanan pemimpin Hindraf dalam ISA dan banyak lagi perkara yang menghimpit kehidupan harian rakyat.


Kesemua ini bukanlah dakyah, malah ia adalah fakta umum yang orang ramai sudah maklum. Apakah tindakan kerajaan BN Selangor merobohkan kuil Kuil Sri Maha Mariamman, Padang Jawa di Klang pada 29 Oktober seminggu sebelum Deepavali adalah suatu pembohongan?


Adakah tindakan kerajaan BN Selangor merobohkan Surau Al-Rahmaniah, Kampung Berembang pada 20 November 2006 lalu dan meratakan semua rumah-rumah penduduk kampung yang berada disekitar surau berkenaan atas matlamat Setinggan Sifar Negeri selangor sebelum akhir 2006 tercapai juga merupakan satu pembohongan?


Rakyat ingat semua tindakan yang dilakukan oleh kerajaan BN yang menekan kehidupan demi melaksanakan sesuatu projek yang kononnya untuk tujuan pembangunan. Tetapi apakah pemimpin BN lupa bahawa rakyat juga ada kuasa untuk menjatuhkan hukuman terhadap tindakan mereka yang tidak bertimbang rasa akibat dari tindakan kerajaan BN yang menyebabkan kehidupan mereka menjadi tertekan.


Semua saluran maklumat seperti TV, radio, akhbar harian dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan BN. Ruang yang diberikan kepada parti berdaftar lain selain dari kumpulan BN yang sah dari segi undang-undang Malaysia adalah terhad dan sangat terbatas. Jika keistimewaan yang dinikmati oleh kerajaan BN juga diberi secara saksama kepada parti selain dari komponen BN, rasanya lebih ramai lagi rakyat tidak akan menyokong BN. Jika adapun liputan yang diberikan kepada parti selain dari komponen BN adalah fakta CUT and PASTE yang lansung tidak membawa maksud berita sebenar. Malah laporan berita kepada parti BA menggambarkan seolahnya parti BA adalah sangat tidak relevant. Apakah ini bukan satu pembohongan dari kerajaan BN terhadap fakta sebenar yang cuba diketengahkan oleh parti dari komponen BA?


Parti pakatan BA tidak pun menggunakan kemudahan internet untuk mengekploitasikan kempen BA secara intensif, tetapi yang menggerakkan penyebaran maklumat melalui internet, bloggers dan seumpamanya adalah kebanyakannya terdiri dari orang perseorangan, kumpulan, dan mereka yang merasakan bakawa, kebebasan untuk bersuara secara terbuka bagi meluahkan ketidakpuasan hati terhadap tindak tanduk rakus pemimpin BN tidak lagi dapat disuarakan secara terbuka mengikut saluran diplomatik dan konfrantasi. Sehubungan dengan itu gelora kebanyakan rakyat, terutamanya yang celik IT hanya dapat dirasakan melalui alam cyber. Tetapi malangnya gelora ini tidak diendahkan oleh pemimpin BN yang celik IT yang telahpun melancarkan kumpulan cyber troopers bagi menyerang balas hujah penyokong BA dalam alam cyber.


Tropers-tropers ini dilihat tumpul hujah untuk meyakinkan pelawat portal pro BA bagi meyakinkan kebaikan kerajaan yang mengupah mereka melawan fakta yang dikemukan oleh pelawat pro BA. Antara contoh portal yang menjadi tumpuan utama orang ramai adalah Malaysiakini.com dan Tranungkite.net. Mereka meluahkan perasaan melalui alam cyber yang berbetulan pula menepati kehendak kesemua kaum di Malaysia.


Kemudahan yang sama melalui medium internet sepatutnya boleh digerakkan oleh kerajaan BN dan mereka yang menyokong BN. Tidak ada sesiapa pun yang akan menghalang kerajaan BN dan penyokongnya dari menggunakan sepenuhnya kemudahan internet untuk melancarkan serangan balas terhadap kononya tohmahan dari puak penyokong BA.


Berapalah sangat penembusan kemudahan internet di Malaysia berbanding dengan penembusan siaran TV, Radio dan akhbar harian yang dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan BN. Mengikut statistik dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, kadar penembusan internet dikalangan rumah bagi seluruh negeri di Malaysia masih dibawah 20% berbanding dengan penembusan TV dan radio yang melebihi 90% bagi setiap rumah. Apakah dengan perbandingan penembusan capaian yang berbeza seperti perbandingan antara epal dan pisang, masih relevan untuk dijadikan alasan yang menjadi punca kekalahan BN yang teruk sekali dalan sejarah Malaysia berpunca dari bloggers dan portal pro BA?


Sebenarnya pada pandangan saya, ramai rakyat beralih angin kepada pentadbiran BA adalah disebabkan ketidakpuasan hati orang ramai kepada cara pemerintahan kerajaan BN yang kurang mementingkan kebajikan rakyat dalam melaksanakan sesuatu dasar dan perubahan.


Penganalisa yang bijak adalah mereka yang menilai natijah secara tepat berdasarkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Kalau kita tak tau menari lantas menyalahkan tanah tinggi rendah, menyebabkan orang yang melihat hanya tertawa akan kebodohan kita.

1 comment:

Anonymous said...

dah adat dunia...kekadang kite dok atas dan kekadang kite dok bawah...dan bila dok atas jangan lupa orang bawah....www.politictoday.com