Friday, March 21, 2008

Kemelut kekecewaan wakil rakyat BN Sabah, Sarawak semakin menular

Posted on Friday, March 21 @ 21:29:46 MYT by SongkokPutih
Analisis Isu Oleh kelantankini

" BAYANGAN Dato' Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa kedudukan kerajaan Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan goyah nampaknya semakin menjadi kenyataan.

Sekali pun belum disahkan kebenarannya, namun ura-ura beberapa wakil rakyat BN di Sabah dan Sarawak bakal beralih 'kapal' nampaknya semakin menyebabkan pemimpin-pemimpin BN seperti 'cacing kepanasan'.

Jika tidak masakan Presiden Umno merangkap Pengerusi BN mengarahkan Setiausaha Agungnya yang baru, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya menghantar pasukan perisik khas menangani kemelut berkenaan.

Belum pun reda dengan berita seorang anggota Parlimennya dari parti SUPP bakal 'melawan arus', khabar terbaru pula menyebut wakil rakyat kawasan Mas Gading kini sedang menimbang untuk keluar parti.

Wakil rakyat berkenaan, Dr Tiki Lafe menghadapi dilema sama dengan anggota Parlimen Serian, Richard Riot iaitu kekecewaan kerana tidak tersenarai dalam barisan kabinet baru Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Laporan Malaysiakini yang belum disahkan menyebut wakil Mas Gading itu kini bercuti dan enggan mengesah atau menafikan laporan beliau meninggalkan BN.

Semalam ahli parlimen Serian, Richard Riot, dilaporkan telah keluar daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) -- parti komponen BN -- bersama ramai ahli parti itu dari kawasannya selepas beliau tidak dilantik sebagai timbalan menteri.

Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam bagaimanapun menafikannya dengan menyatakan parti itu belum menerima surat Richard.

Sebelum itu Malaysiakini melaporkan, memetik satu sumber dengan dekat dengan Richard, wakil Serian telah menyerahkan surat keluar parti kepada George Chan pada hari yang sama Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan barisan kabinetnya.

Chan kemudian dilaporkan menghantar setiausaha agungnya Sim Kheng Hui pergi memujuk Richard tetapi gagal menemuinya, kata sumber itu.

Hari ini Chan dilaporkan berkata Richard gagal dihubungi dan sehingga kini ahli parlimen itu sendiri belum membuat kenyataan.

Bagaimanapun jika benar keputusan wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak bertindak keluar dari BN atas dasar kekecewaan kerana tidak mendapat jawatan yang diidamkan, pemimpin dalam pakatan BA -- khususnya Anwar Ibrahim -- perlulah lebih berhati-hati supaya hasrat untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Abdullah tidak memakan diri sendiri.

kelantankini.com

No comments: