Friday, March 28, 2008

Kenapa sesetengah kita masih berpemikiran ciput?

Saya berkesempatan berbual dan mendengar pandangan beberapa rakan UMNO dari golongan penyokong hardcore kampung hulu hinggalah kepada pemimpin bergelar YB.

Rata2 dari perbualan ini menampakkan cara pemikiran yang saya katakan ciput yang tidak lagi relevan dengan senario harian dalam kehidupan masyarkat Malaysia hari ini.

Kita sudah merdeka lebih dari 50 tahun, tapi cara pemikiran sesetengah dari kita seolahnya merasakan bahawa kita masyarakat Melayu masih berada seperti ditahun 1969, tahun dimana berlakunya pertumpahan darah akibat dari tercetusnya rusuhan antara kaum di Malaysia.

Antara buah pandangan yang dilontarkan contohnya adalah:

1) Habislah kita orang Melayu, BN tidak lagi memerintah negeri-negeri A, B, D, K, P dan W.

Kenapa persoalan ini masih timbul? Jika perkara sebegini masih berada dlm pemikiran seseorang, kita berhak bertanya, jika inilah perkara yang menjadi kebimbangan,

  • Kenapa perlu diadakan pilihanraya? Kerana apabila pilihanraya diadakan, kebarangkalian BN akan kalah adalah 50-50. Apakah sesetengah dari kalangan kita ( terutama rakan saya dari UMNO) tidak pernah memikirkan implikasi jika kalah yang sememangnya merupakan adat dalam proses demokrasi.
  • Apakah pilihanraya hanyalah mainan yang bukan bermaksud untuk memilih pemimpin yang diingini oleh rakyat? Apakah pilihanraya hanyalah lakonan yang ingin ditunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang mana keputusan pemilihan rakyat mesti hanya berpihak kepada BN?
  • Persoalan lain yang timbul adalah, apakah sesetengah dari kita masih lagi dibelenggu oleh pemikiran bahawa rakyat Malaysia masih bodoh seperti mana tahun-tahun sebelum 1999 yang mana mereka akan menerima setiap hentakan maklumat yang dipancutkan oleh media cetak dan media elektronik yang dikuasai oleh mereka bulat-bulat tanpa berupaya membuat penilaian alternatif dari perkembangan ledakan informasi antaranya melalui medium internet?

Cukuplah Melayu hardcore berpemikiran cara 1969. Bukalah minda dan perhatikan dunia disekeliling anda. Cubalah menawarkan diri dengan menjadi pemimpin yang berkarisma, berintegriti, bermoral, anamah dan berakhlak. Jika anda berupaya meyakinkan masyarakat Malaysia bahawa anda masih relevan untuk dipilih sebagai pemimpin yang berkualiti bagi memimpin masyarakat Malaysia yang sudah maju mindanya, anda boleh menanti giliran anda untuk dipilih semula jika pemimpin yang diberi peluang pada hari ini dari kalangan BA tidak melaksanakan amanah yang diberi sebagaimana yang diharapkan.

Jika anda masih berpemikiran ciput dengan menyalahkan orang ramai yang diberi hak untuk menentukan siapakah yang layak memerintah Malaysia, tunggulah masanya, anda bakal menjadi monumen yang bakal terpahat di muzium yang akan dibaca seperti berikut pada tahun 2014 "Parti Pemerintah Malaysia, BN 1957-2013".

No comments: